|
|
»
Pada tahun 1949 sebuah jawatankuasa telah ditubuhkan untuk
menimbang dan membuat perakuan berhubung rekacipta bendera
Persekutuan Tanah Melayu. Satu pertandingan peringkat
kebangsaan telah dianjurkan oleh Majlis Perundangan
Persekutuan. Sebanyak 373 penyertaan telah diterima di mana
tiga rekaan bendera telah terpilih ke peringkat akhir.
»
Majlis Perundangan Persekutuan menjemput orang ramai
memberikan pendapat tentang ketiga-tiga rekaan tersebut.
Undian pendapat umum itu telah dikelolakan oleh akhbar The
Malay Mail. Keputusan akhir telah disiarkan pada 29 Nov
1949.
»
Rekaan yang terpilih menggambarkan sebelas jalur biru dan
putih dengan bulan dan bintang berwarna kuning di sebelah
kiri. Rekaan ini adalah ciptaan seorang arkitek kerajaan
dari Johor iaitu En Mohamad bin Hamzah.
»
Beberapa pindaan telah dibuat kepada rekaan tersebut dan
rekaan akhir telah diperkenankan Mesyuarat Majlis Raja-Raja
pada 22 dan 23 Februari 1950. Pada 19 April 1950, Majlis
Perundangan Persekutuan telah meluluskan usul yang
dibentangkan oleh Pemangku Ketua Setiausaha Negara seperti
berikut:
"That in the opinion of this Council the Flag of the
Federation of Malaya should be as follows: Eleven horizontal
stripes alternately red and white in colour, the uppermost
stripe being red, having a blue quarter with a crescent and
eleven pointed star in yellow superimposed, the standard
size of the flag to be six feet by three feet."
(Bahawa mengikut pendapat Majlis Perundangan Persekutuan,
bendera bagi Persekutuan Tanah Melayu hendaklah mengikut
rupa seperti berikut: Sebelas jalur melintang berwarna merah
dan putih berselang-seli, dengan jalur merah di atas sekali,
sukuan berwarna biru dengan bulan sabit bersama bintang
pecah sebelas berwarna kuning di atasnya, dengan ukuran
bendera standard enam kaki kali tiga kaki.)
»
Rekaan bendera tersebut telah mendapat kelulusan King George
VI pada 19 Mei 1950.
»
Bendera Persekutuan Tanah Melayu telah dikibarkan buat kali
pertama dalam satu majlis menaikkan bendera tersebut yang
dianjurkan oleh Pesuruhjaya Tinggi British pada 26 Mei 1950
di perkarangan Istana Sultan Selangor dengan dihadiri oleh
DYMM Raja-Raja Melayu dan Pegawai-pegawai King George VI.
»
Kemasukan Sabah, Sarawak dan Singapura ke dalam Persekutuan
Tanah Melayu telah melahirkan sebuah negara baru iaitu
Malaysia. Dengan ini satu pindaan diperlukan ke atas bendera
Persekutuan Tanah Melayu.
»
Majlis Raja-Raja telah memperkenankan rekaan Bendera
Malaysia berdasarkan rekaan asal Bendera Persekutuan Tanah
Melayu, dengan pengubahsuaian pada bilangan jalur dan
pecahan bintang bagi menunjukkan 14 buah negeri baru bagi
Persekutuan Malaysia.
»
Bendera Malaysia telah dikibarkan dengan rasminya di seluruh
negara untuk melambangkan kelahiran Malaysia pada 16
September 1963.
»
Sungguhpun Singapura berpisah daripada Malaysia pada 9 Ogos
1965, namun jalur-jalur dan bintang pecah 14 terus
dikekalkan hingga sekarang. Empatbelas jalur dan empatbelas
pecahan bintang melambangkan maksud yang baru iaitu
persekutuan tigabelas buah Kerajaan Negeri di dalam Kerajaan
Persekutuan.
»
Pada malam 31 Ogos 1997 sempena Hari Kemerdekaan Malaysia
yang ke40, Perdana Menteri Malaysia Dato' Seri Dr Mahathir
Mohamad telah mengisytiharkan Jalur Gemilang sebagai nama
rasmi bendera Malaysia.
Keterangan Kreatif
»
Empatbelas jalur merah dan putih yang sama lebarnya
melambangkan keanggotaan yang sama 13 buah negeri iaitu
Johor, Kedah, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang,
Pulau Pinang, Perak, Perlis, Sabah, Sarawak, Selangor dan
Terengganu, dalam Kerajaan Persekutuan.
»
Warna merah melambangkan kegagahan dan keberanian dalam
menghadapi cabaran.
»
Warna putih melambangkan keluhuran budi.
»
Sukuan berwarna biru tua melambangkan perpaduan dan rukun
damai rakyat yang berbilang kaum.
»
Bulan sabit melambangkan Islam sebagai agama rasmi negara.
»
Bintang pecah 14 melambangkan perpaduan 13 buah negeri dan
Kerajaan Persekutuan.
»
Warna kuning pada anak bulan dan bintang ialah warna diraja
iaitu mewakili kedaulatan Duli-Duli Yang Maha Mulia
Raja-Raja Melayu.
Maksud "Jalur Gemilang"
»
Jalur
- menggambarkan Bendera Malaysia yang mempunyai 14 jalur.
Jalur pada Bendera Malaysia menggambarkan satu laluan yang
lurus, hala tuju yang sama dan arah yang sama yang dianuti
oleh rakyat negara ini dari Perlis hingga ke Sabah dalam
menuju kegemilangan bangsa dan negara.
»
Gemilang
- bermaksud bercahaya, terang benderang dan cemerlang. Oleh
yang demikian, Jalur Gemilang memberi pengertian bahawa
jalur atau bendera itu melambangkan kecemerlangan negara
Malaysia dan rakyat Malaysia dalam mengharungi apa bidang
kehidupan sekalipun sama ada di dalam atau di luar negara.
»
Jalur Gemilang
Kesungguhan, kegigihan dan kesanggupan rakyat untuk
menaikkan imej negara, sesungguhnya sentiasa mendapat
petunjuk dan pedoman yang terang lagi jelas.
»
Jalur atau Bendera melambangkan citra
atau imej negara dan rakyat yang patriotik, gigih, gagah dan
berani menghadapi cabaran serta sanggup berkorban demi
agama, bangsa dan negara.
:: Sumber - Jabatan Informasi, Malaysia, Jun 1997 |
|