|
|
 |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Menuju
Kemerdekaan |
|
|
|
|
|
|
|
Rakyat Malaysia
amat istimewa jika dibandingkan dengan rakyat negara-negara
lain; kerana perjuangan mereka ke arah kemerdekaan telah
berjaya dilakukan tanpa pertumpahan darah, kemusnahan harta
benda atau melibatkan sebarang revolusi mahupun
pemberontakan bersenjata. Kemerdekaan Tanah Melayu telah
dicapai kerana wujudnya suatu faktor yang tiada pada
negara-negara lain di dunia ini - kebersatuan yang kukuh di
antara pelbagai kelompok etnik yang menganuti pelbagai
budaya, kepercayaan dan agama.
Kebersatuan, kesepakatan dan keharmonian yang wujud ini
telah menjadi benteng kekuatan dan asas bagi Parti Perikatan
untuk meneruskan perbincangan dengan kerajaan British bagi
mendapatkan kemerdekaan.
Kerjasama yang kukuh di antara kaum telah menjadi asas
perjuangan kemerdekaan kerana masyarakat dunia, malah rakyat
Tanah Melayu sendiri pada waktu itu tidak yakin negara ini
boleh kekal aman dengan struktur masyarakat yang sebegini
majmuk.
Andaian ini dibuat memandangkan pergolakan dunia ketika itu
yang gagal menyelesaikan permasalahan etnik negara
masing-masing. Rata-rata para pemerhati berpendapat bahawa
jika dunia tidak dapat menangani masalah ini, mustahil Tanah
Melayu dapat melakukannya. |
|
|
|
|
|
|
|
Menempuh
Ranjau |
|
|
|
|
|
|
|
Semangat nasionalis
sememangnya telah wujud di Tanah Melayu sejak abad
kesembilan belas, dan menjelang abad kedua puluh lebih ramai
pejuang-pejuang kemerdekaan muncul di seluruh tanah air.
Semangat kebangsaan ini sedikit demi sedikit menular ke
segenap pelosok Tanah Melayu.
Setahun selepas Jepun menyerah kalah pada akhir Perang Dunia
Kedua, lahirlah Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu atau
United Malays National Organisation (UMNO), yang dipimpin
oleh Dato' Onn bin Jaafar.
Penubuhan UMNO adalah hasil perpaduan bangsa Melayu - rakyat
bersama raja - kerana menentang rancangan Malayan Union yang
direncanakan oleh kerajaan British. Pelaksanaan Malayan
Union akan menghapuskan segala tradisi (sistem politik,
pentadbiran dan adat resam) serta sistem kerajaan semua
negeri di Semenanjung Tanah Melayu.
Pada 1951, tampuk pimpinan UMNO diambil alih oleh Tunku
Abdul Rahman Putra.
Perlu juga disebut bahawa perjuangan menuntut kemerdekaan
Tanah Melayu bukanlah perjuangan orang-orang Melayu
semata-mata. Tanah Melayu ketika itu sudah menjadi kediaman
pelbagai kelompok masyarakat yang berbilang kaum dan agama.
Walaupun orang-orang Melayu menguasai kepimpinan politik,
pemimpin-pemimpin Melayu ini sedar akan struktur masyarakat
Tanah Melayu yang ibarat aur dengan tebing. Mereka sedar,
perjuangan kemerdekaan tanpa penyertaan kaum-kaum lain tidak
akan berhasil. Mereka dapat melihat bahawa dalam jangka
panjang, Tanah Melayu mesti ditadbir oleh warga sendiri, di
bawah satu payung politik yang teguh dan kukuh.
Jelaslah bahawa perjuangan kemerdekaan Tanah Melayu
merupakan perjuangan semua rakyat Tanah Melayu yang
berbilang kaum. |
|
|
|
|
|
|
|
Merisik
Khabar |
|
|
|
|
|
|
|
Pada Januari 1956,
Tunku Abdul Rahman mengetuai satu rombongan mengandungi
empat wakil dari Parti Perikatan dan empat wakil dari Majlis
Raja-Raja bertolak ke London, untuk membincangkan tentang
kemerdekaan Tanah Melayu. Selepas tiga minggu mengadakan
rundingan, pada 8 Februari Tunku menandatangani Perjanjian
Kemerdekaan London. Kerajaan British bersetuju memberi
kemerdekaan kepada Tanah Melayu pada 31 Ogos tahun
berikutnya.
Sekembalinya Tunku dan rombongannya dari London, berita
gembira itu telah disampaikan kepada orang ramai pada satu
perhimpunan di Padang Merdeka, Bandar Hilir Melaka - bandar
yang telah menyaksikan banyak penjajah datang dan pergi.
Berita ini telah disambut dengan penuh kegembiraan oleh
semua penduduk Tanah Melayu. |
|
|
|
|
|
|
|
Menuai Mimpi |
|
|
|
|
|
|
|
Pada detik 12 malam
31 Ogos 1957, perjuangan menuntut kemerdekaan akhirnya
membuahkan hasil, dan impian akhirnya menjadi kenyataan. Di
Padang Kelab Selangor (sekarang Dataran Merdeka), bendera
Union Jack diturunkan buat kali terakhir di bumi Tanah
Melayu dan bendera Tanah Melayu dinaikkan dengan penuh rasa
syukur dan bangga.
Pada esok harinya, kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu
telah diisytiharkan dengan rasminya oleh Perdana Menteri
Tunku Abdul Rahman di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur dengan
disaksikan beribu-ribu warganegara, Raja-Raja Melayu, Duke
of Gloucester (mewakili Ratu Elizabeth) serta wakil-wakil
kerajaan British. Ini adalah satu detik yang sangat penting
dalam sejarah tanahair - akhirnya penjajahan yang telah
bertapak sejak tahun 1511 telah dapat dihapuskan. |
|
|
|
|
|
|
|
Kronologi |
|
|
|
|
|
|
|
1786 Sir
Francis Light tiba dari Britain dan memperoleh Pulau Pinang
daripada Sultan Kedah.
1819 Sir Thomas Stamford Raffles membuka pelabuhan
perdagangan bebas untuk Britain di Singapura.
1824 Perjanjian Inggeris-Belanda ditandatangani.
Belanda secara rasmi menyerahkan Melaka kepada Inggeris.
1826 Singapura, Melaka dan Pulau Pinang disatukan di
bawah pentadbiran Inggeris dengan panggilan Negeri-negeri
Selat.
1832 Singapura dijadikan ibu negeri bagi
Negeri-negeri Selat.
1841 James Brooke menjadi Rajah Putih atau Rajah
Sarawak.
1881 Syarikat Berpiagam Borneo Utara menubuhkan
pejabat di Borneo Utara (sekarang Sabah).
1888 Borneo Utara, Brunei dan Sarawak menerima
perlindungan British.
1896 British menubuhkan Negeri-negeri Melayu
Bersekutu terdiri daripada Perak, Negeri Sembilan, Selangor
dan Pahang.
1905 Maktab Melayu Kuala Kangsar ditubuhkan bertujuan
menyediakan pendidikan kepada bakal-bakal pentadbir dalam
kerajaan British.
1915-1941 Tanda-tanda awal semangat nasionalisme mula
dirasai bila British mengamalkan dasar pecah dan perintah.
1922 Maktab Perguruan Sultan Idris dibuka di Tanjung
Malim, Perak.
1931 Sekolah Pertainian Tanah Melayu dibuka di
Serdang, Selangor.
1941-1945 Perang Dunia Kedua merebak ke Tanah Melayu
dengan ketibaan dan pendudukan Jepun yang penuh ketakutan,
kesengsaraan dan tragedi.
1945 Jepun menyerah kalah, menandakan berakhirnya
Perang Dunia Kedua. British kembali ke Tanah Melayu.
1946 British merencanakan Kesatuan Tanah Melayu
(Malayan Union) tetapi dibantah keras orang-orang Melayu.
1946 Datuk Onn Jaafar mengasaskan Persatuan
Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO).
1948 Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu
ditandatangani. Permulaan zaman Darurat, iaitu pemberontakan
pengganas komunis selama 12 tahun.
1948 Institusi pengajian tinggi awam pertama di Tanah
Melayu, Universiti Malaya dibuka di Kolej Perubatan Raffles,
Singapura.
1952 UMNO dan Persatuan Cina Tanah Melayu (MCA)
berganding dalam pilihan raya bandaran pertama di Kuala
Lumpur.
1953 Parti Perikatan yang menggabungkan UMNO, MCA dan
Kongres India Sa-Tanah Melayu (MIC) ditubuhkan.
1954 Tunku Abdul Rahman Putra mengetuai rombongan ke
Britain untuk menuntut kemerdekaan, namun tidak begitu
berjaya.
1955 Pilihan Raya pertama bagi Semenanjung Tanah
Melayu diadakan dengan lancar dan berakhir dengan kemenangan
besar bagi Perikatan. Tunku Abdul Rahman dipilih menjadi
Ketua Menteri Persekutuan Tanah Melayu yang pertama.
1956 Tunku Abdul Rahman sekali lagi mengetuai
rombongan ke London untuk mengadakan rundingan kemerdekaan.
Britain bersetuju memberikan kemerdekaan. kepada Tanah
Melayu pada 31 Ogos 1957.
1956 Sekembali dari London, Tunku Abdul Rahman
mengumumkan tarikh kemerdekaan di Padang Bandar Hilir,
Melaka.
1956 Suruhanjaya Reid ditubuhkan untuk merumus dan
memperhalusi draf Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu.
Perikatan menyerahkan memorandum yang dipanggil Pakatan
Murni, yang mengusulkan tolak ansur antara kaum di negara
ini. Memorandum ini menyentuh lima perkara utama iaitu
kedudukan Raja-Raja Melayu, kedudukan agama Islam, kedudukan
bahasa Melayu, kedudukan istimewa orang Melayu dan
kerakyatan sama rata..
1957 Tanah Melayu mencapai kemerdekaan daripada
British. Tunku Abdul Rahman Putra menjadi Perdana Menteri
pertama manakala Dato’ Abd Razak Hussein menjadi timbalannya.
1957 Majlis Raja-raja berkenan memilih gelaran “Yang
di-Pertuan Agong” bagi Ketua Negara Persekutuan Tanah Melayu,
dan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Abdul Rahman
Ibni Almarhum Tuanku Muhammad dipilih menjadi Yang
di-Pertuan Agong pertama.
1959 Yang di-Pertuan Agong merasmikan kampus
Universiti Malaya di Kuala Lumpur.
1961 Tunku Abdul Rahman mengusulkan penubuhan
Malaysia, yang merangkumi Semenanjung Tanah Melayu,
Singapura, Brunei, Borneo Utara dan Sarawak.
1963 Kelahiran negara baru yang diberi nama Malaysia,
meliputi Semenanjung Malaysia, Singapura, Sabah (dahulunya
Borneo Utara) dan Sarawak.
1965 Singapura keluar dari Malaysia lalu menjadi
sebuah negara merdeka.
1969 Rusuhan kaum tercetus di Kuala Lumpur selepas
Pilihan Raya Persekutuan. Keadaan darurat diisytiharkan dan
Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) ditubuhkan, diketuai Dato’
Abd Razak. Di bawah MAGERAN, keamanan dipulihkan dan urusan
seharian kembali seperti sedia kala di ibu negara.
1970 Tunku Abdul Rahman meletakkan jawatan. Dato’ Abd
Razak mengambil alih sebagai Perdana Menteri Kedua.
1970 Universiti Kebangsaan Malaysia dibuka di Kuala
Lumpur.
1970 Dasar Ekonomi Baru diperkenalkan bagi mewujudkan
keseimbangan ekonomi di kalangan rakyat.
1971 Tunku Abdul Rahman dipilih menjadi Setiausaha
Agung Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) yang pertama.
1976 Tun Abd Razak meninggal dunia di London. Dato’
Hussein Onn menggantikan tempatnya sebagai Perdana Menteri
Ketiga.
1981 Dato’ Hussein Onn meletak jawatan dan melantik
Dato’ Seri Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri
keempat.
1985 Malaysia memulakan peralihan ekonomi dari yang
berasaskan pertanian ke ekonomi berasaskan industri kilang.
Kereta nasional pertama, Proton Saga dikeluarkan dari kilang
pembuatan di Shah Alam.
1996 Malaysia melancarkan satelit pertamanya,
Malaysia East Asia Satellite (MEASAT) dan siaran TV satelit
pertama.
1997 Sistem Transit Rel Ringan (LRT) pertama negara
dilancarkan di Kuala Lumpur.
1997 Menara Berkembar Petronas di Kuala Lumpur
setinggi 425m muncul sebagai bangunan tertinggi di dunia.
1998 Kegawatan ekonomi melanda dunia, namun Kuala
Lumpur berjaya menjadi ibukota negara Asia pertama menjadi
tuan rumah Sukan Komanwel.
1999 Putrajaya mengambil alih peranan Kuala Lumpur
sebagai Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan.
1999 Sistem transit rel ringan automatik tanpa
pemandu terpanjang di dunia, Putra-LRT dilancarkan di Kuala
Lumpur dan kawasan sub-bandarnya.
1999 Litar Antarabangsa Sepang dibuka; Malaysia
menganjurkan Grand Prix Formula Satu buat kali pertama, yang
ditaja syarikat minyak negara, Petronas.
2000 Malaysia menyambut alaf baru sambil melangkah
keluar dari kemelesetan ekonomi dengan daya dan gaya
tersendiri.
2003 Malaysia menjadi tuan rumah kepada Sidang
Kemuncak XIII Pergerakan Negara-negara Berkecuali (NAM) di
Kuala Lumpur.
2003 Malaysia menjadi tuan rumah kepada Sesi Ke-10
Sidang Kemuncak Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) di
Putrajaya.
2003 Dato’ Seri Dr Mahathir Mohamad menyerahkan
kepimpinan Malaysia kepada Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi
dalam satu peralihan kuasa yang berjalan lancar. |
|
|
|
|
|
|
|